KUANTAN - Suasana sempena bulan kemerdekaan semakin hari semakin suram tidak seperti 10 tahun yang lalu. Jalur gemilang sukar untuk dilihat di setiap premis perniagaan apatah lagi di kawasan kediaman. Perlukah kita hanya mengharapkan subsidi bendera percuma daripada agensi dan jabatan kerajaan untuk melahirkan rasa cinta pada negara?
Tinjauan SL di beberapa lot premis perniagaan sekitar bandar Kuantan mendapati semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia semakin hilang. Golongan peniaga yang mengaut keuntungan besar kini agak sukar memperuntukkan sedikit perbelanjaan untuk membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sebagai tanda cintakan negara pada bulan kemerdekaan ini.
Tidak dinafikan bahawa ianya adalah hak masing-masing untuk mengibarkan Jalur Gemilang, namun apa salahnya pada bulan kemerdekaan ini kita kibarkan sebagai tanda memperingati dan menghargai nilai kemerdekaan yang telah kita kecapi sehingga ke hari ini.
Tidak mustahil pada tahun-tahun yang mendatang, hanya bangunan kerajaan sahaja yang akan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali sambutan bulan kemerdekaan diadakan. Adakah situasi ini berlaku akibat daripada senario politik semasa? Perlukah kita mencampur adukkan politik dengan semangat patriotik kita sebagai rakyat Malaysia yang lahir di negara bertuah ini?
Kempen-kempen melalui media massa turut suram dan tidak memberikan impak yang berkesan terhadap rakyat Malaysia. Lagu-lagu patriotik kurang berkumandang di stesyen-stesyen tv dan radio swasta jika kita bandingkan pada suatu ketika dahulu.
Diharapkan pihak kerajaan perlu mengambil langkah yang sewajarnya bagi memulihkan keadaan seperti ini agar generasi yang akan datang tidak terus dibuai kesenangan dan kemodenan yang mana ianya merupakan hasil pengorbanan pejuang kemerdekaan kita terdahulu. Semangat patriotik perlu dibakar agar ianya semakin menyemarak di hati nurani setiap rakyat Malaysia.
Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !
No comments:
Post a Comment