Projek ternakan ikan sturgeon bakal dijalankan di Kuala Tahan di Jerantut, Pahang melibatkan kawasan hutan simpan Taman Negara yang berkeluasan 50 ekar. Malah, kawasan Sungai Tabung iaitu lokasi projek adalah kawasan orang asal Kaum Bateq untuk mencari hasil hutan. Kaum ini adalah satu satunya kaum yang masih hidup secara nomad di Semenanjung Malaysia. Maka usaha untuk menyelamatkan alam sekitar di kawasan terbabit telah digerakkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum berkenaan impak buruk projek tersebut. Satu laman Facebook Kami bantah Penternakan Ikan Sturgeon di Kuala Tahan telah diwujudkan bagi memberi gambaran kesan buruk projek ini dan seterusnya menghentikan projek ini yang dilihat akan merosakkan alam sekitar dan ekosistem sungai di Taman Negara Kuala Tahan.
Sementara itu, bagi pihak Felda Global Venture (FGV) pula mendakwa Projek Penternakan Ikan Sturgeon ini dibangunkan bagi memastikan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk generasi baharu peneroka FELDA dan kampung tradisional. Ternakan ini akan menjadi penyumbang utama agenda sekuriti makanan negara dengan membiak ikan di darat. Penghasilan telur (caviar) dan daging ikan sturgeon untuk diperkenalkan dengan jenama Malaysia di pasaran tempatan dan antarabangsa. Projek ini dikatakan mendapat pelaburan dari Korea Selatan dengan jumlah RM 150 juta untuk pembangunan kolam penternakan pusat dan beberapa kolam pembiakan satelit, bangunan pejabat pentadbiran dan R&D serta kemudahan tempat tinggal. Spesis sturgeon yang bakal dibiakkan di sini ialah siberian, amur, sterlet dan beluga.
Sturgeon adalah sejenis ikan yang makan di bawah air, membiak di bahagian hulu sungai dan mencari makanan di delta sungai dan kawasan persisir pantai. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, walaupun sturgeon merupakan ikan air tawar, terdapat beberapa spesis yang dapat menyesuaikan diri untuk mendiami pesisir pantai dan lautan luas.
Sturgeon diburu serta diternak bagi mendapatkan telurnya yang dikenali sebagai roe untuk dijadikan sajian mewah iaitu caviar. Caviar merupakan telur ikan sturgeon yang disediakan sama ada secara mentah atau dipasturkan. Secara tradisionalnya, caviar merujuk kepada telur ikan sturgeon (Beluga, Ossetra dan Sevruga) yang hidup di Laut Caspian dan Laut Hitam. Caviar yang paling mahal dan paling sukar ditemui berasal dari sturgeon beluga yang mendiami Laut Caspian.
Disebabkan harga caviar yang tinggi, sturgeon diburu secara berleluasa. Kebanyakan spesis sturgeon kini dikelaskan sebagai terancam dan mengalami risiko kepupusan. Disebabkan sturgeon membesar dengan perlahan dan lewat mencapai umur matang, ikan ini sangat mudah terancam ditambah dengan pemburuan yang berleluasa, pencemaran air dan kemusnahan habitat.
Namun begitu, sturgeon merupakan ikan pemangsa yang boleh memusnahkan habitat ikan semulajadi jika dimasukkan ke dalam sungai. Ini kerana sturgeon akan bersaing untuk makanan dengan ikan-ikan tempatan. Makanan utama sturgeon adalah ikan, siput, udang dan ketam.
Sturgeon bukan ikan yang berasal dari Malaysia. Disebabkan risiko ikan sturgeon yang boleh memusnahkan ekosistem sungai dan perairan negara, Jabatan Perikanan telah mengeluarkan larangan import bagi spesis ikan ini.
Ramai yang bertanya mengapa projek ini patut dihentikan. Ini adalah hujah-hujahnya (klik pada gambar bawah untuk paparan lebih jelas).
Bantahan kepada projek ini telah memasuki fasa baharu apabila forum dan kelab pemancing di seluruh negara mula menyebarkan maklumat berkenaan keburukan projek ini secara atas talian di laman Facebook, laman sesawang dan blog. Kebanyakan maklum balas yang diterima menyatakan kebimbangan kepada risiko pelepasan spesis ini ke dalam sungai yang akan mengakibatkan kemusnahan ikan semulajadi di dalam sungai seperti kelah, lampam, temoleh dan patin.
Bantahan kepada projek ini mendapat sokongan padu dari ahli akedemik, penyelidik, pencinta alam dan NGO. Prof Dr Maketab Mohamed, seorang profesor yang pakar dalam bidang alam sekitar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga merupakan Presiden MNS telah mengetuai bantahan ini serta disokong oleh penduduk tempatan, orang asal Bateq, aktivis dan NGO seperti Malaysia Nature Society (MNS), Persatuan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan Komuniti Kuala Tahan/Taman Negara.
No comments:
Post a Comment