JDT1 (The Southern Tiger) gagal memanfaat kelebihan bermain di tempat sendiri apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Pahang ( Tok Gajah ) pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Larkin malam tadi.
Bermain di depan 30,000 penonton, skuad bimbingan Bojan Hodak memulakan aksi mereka dengan berhati-hati dan dilihat membiarkan Pahang melakukan serangan bertali arus ke kubu mereka.
Penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme menguji gawang JDT1 seawal minit ke-lima selepas berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan import baru JDT1, Marcos Antonio Santos namun rembatannya tersasar.
Penyerang skuad Tok Gajah yang bertubuh tegap itu berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan JDT1 menerusi gerakan berbahaya namun kawalan ketat Marcos Antonio kelahiran Brazil menggagalkan usahanya mencari jaringan.
Pasukan JDT1 memecah kebuntuan apabila penyerang kelahiran Santa Fe, Argentina, Luciano Figueroa menjaringkan gol pertama permainan pada minit ke-13 menerusi gerakan cantik hasil sepakan percuma Safiq Rahim.
Gol itu ternyata menghidupkan permainan dengan pemain JDT1 melipatgandakan serangan ke kubu Pahang namun berjaya ditangani oleh pemain pertahanan Pahang yang diterajui Damion Stewart.
Bagaimanapun, sepakan percuma Azidan pada minit ke-36 membolehkan Pahang memperoleh gol penting di tempat lawan hasil tandukan Matias Conti untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Gol terhasil apabila bola sepakan Azidan berjaya ditanduk Stewart ke tengah kotak penalti JDT1 sebelum disambar oleh Conti meskipun dicabar beberapa pemain pertahanan pasukan tuan rumah.
Berakhir separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan babak kedua permainan menyaksikan skuad Harimau Selatan melipatgandakan serangan namun pertahanan Pahang utuh menggagalkan usaha JDT1.
Bekalan 1 gol yang dibawa balik untuk separuh akhir kedua di Darul Makmur sudah cukup untuk memastikan JDT1 bekerja keras pada 30 Mei 2014 nanti. Skuad Tok Gajah perlu memastikan paling kurang keputusan seri sekiranya ingin melangkah ke final nanti.
No comments:
Post a Comment