Teka-teki siapa dua suspek yang guna passport curi menaiki
pesawat MH370 yang hilang Sabtu lalu terjawab petang Isnin selepas Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan kepada media. Polis mengesahkan seorang
daripada penumpang yang menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport yang
dilaporkan hilang dan milik orang lain itu adalah warga Iran yang bercadang
untuk berhijrah ke Jerman, kata Khalid.
Beliau mendedahkan identiti
lelaki itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19 tahun. “Kita telah semak latar
belakangnya. Kita juga telah semak profailnya dengan pihak polis di negara lain
dan kita percaya dia tidak mungkin anggota mana-mana kumpulan pengganas,” kata
Khalid. Pouria Nour menggunakan
pasport Austria milik Christian Kozel yang disahkan dicuri di Phuket, Thailand.
Khalid turut mengesahkan semua
yang membeli tiket menaiki pesawat MH370 yang hilang ketika penerbangan ke
Beijing, awal pagi Sabtu.
Beliau berkata, siasatan
dijalankan terhadap semua rakaman video, termasuk dengan jabatan lain dan latar
belakang semua penumpang MH370. Menurutnya lagi, polis kaji empat aspek dalam
penyiasatan terhadap kehilangan pesawat MH370 iaitu rampasan, sabotaj, masalah
psikologi penumpang dan kru dan masalah peribadi. Pengumuman Khalid mengenai
warga Iran itu selari dengan hasil siasatan polis di Thailand yang mendapati
dua penumpang MH370 dengan pasport curi itu mungkin pelarian yang mencari
suaka. Ia berdasarkan kepada tempahan tiket harga paling murah serta laluan
transit Kuala Lumpur-Beijing-Amsterdam sebelum menuju ke destinasi akhir
masing-masing ke Copenhagen, Denmark dan Frankfurt, Jerman.
“Berdasarkan kepada tempahan
tiket saja, sekiranya keganasan, mereka tentunya mengkhususkan laluan dan pesawat
yang hendak dinaiki,” kata Ketua Polis Pattaya, Supachai Puikaewcome seperti
dipetik oleh Reuters pada Selasa. Penumpang pasport curi itu dibantu oleh dua
warga Iran yang menguruskan tempahan tiket daripada sebuah agensi pelancongan
yang sudah dilanggani oleh orang tengah itu sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat berkata dua
penumpang pasport curi itu menggunakan pasport yang sama untuk masuk dan keluar
dari Malaysia. “Kita tidak dapat kesan. Sistem (pasport) kita biometrik. Saya
tidak pasti pasport mereka ada biometrik atau tidak,” katanya, sambil
menegaskan semua protokol keselamatan sudah dipatuhi. Ketua Pengarah Jabatan
Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada Isnin memaklumkan siasatan
berhubung isu pasport curi itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket
pasport.
No comments:
Post a Comment