Thursday, 13 March 2014

KEHILANGAN MH370 JADI BAHAN POLITIKUS


Tindakan pakatan pembangkang yang seakan menyalahkan kerajaan berikutan tragedi pesawat MAS MH370 menunjukkan kegagalan mereka bersikap prihatin dengan sentiasa mempolitikkan apa-apa sahaja perkara yang berlaku, kata Ahli Parlimen Greek, Datuk Hasbullah Osman.
Katanya, dalam kerajaan bertungkus-lumus memastikan semua usaha untuk mengesan pesawat terbabit berjalan lancar, malangnya pakatan pembangkang mengambil kesempatan dengan menjadikan perkara ini sebagai bahan politik.

“Bayangkanlah, untuk mengesan pesawat tersebut, pelbagai pihak bekerjasama termasuklah pakar-pakar dari peringkat antarabangsa sedangkan pemimpin-pemimpin pembangkang hanya tahu membuat tuduhan yang mana kalau kita melayan kata-kata mereka maka lagi huru-hara pencarian yang dibuat,” katanya kepada UMNO-Online.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing setelah berlepas kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam Jumaat lalu.
Dilaporkan, operasi mencari melibatkan 12 negara lain termasuklah Amerika Syarikat, China, Australia, New Zealand dan Jepun yang menggunakan pesawat dan kapal laut dengan kelengkapan canggih dan terkini.
“Sudahlah pakatan pembangkang ini tak ada usaha nak membantu kerajaan jadi tak perlulah pula nak jadi tukang canang untuk burukkan imej negara di mata dunia dengan mempertikaikan usaha yang dilakukan pihak berkuasa.
“Negara-negara yang terlibat secara langsung dalam pencarian ini pun tak ada nak komplen apa-apa, tidak pertikai pun dengan apa yang kerajaan lakukan malah dipujinya pula tindakan segera kerajaan,” katanya.
Bidasnya, tragedi yang menimpa pesawat MH370 ini adalah kemalangan kali pertama yang berlaku di negara ini dan ia masih gagal ditemui sehingga hari ini bukan hanya kepada pasukan keselamatan di Malaysia malah pasukan antarabangsa dengan kepakaran terkini turut mencari.
Turut memuji langkah kerajaan Malaysia berkaitan usaha mencari dan menyelamat MH370 termasuklah komander Armada Pacific ke-7, Komander William Marks yang menyifatkannya sebagai terbaik dari segala segi.
“Mereka yang pakar pun akui kita lakukan perkara yang betul kerana kerajaan laksanakan tindakan segera, Perdana Menteri turut turun padang, sertai sidang media pada hari pertama pencarian lagi sementara semua anggota keselamatan negara digerakkan dari semua sudut.
“Di Parlimen, Yang di-Pertuan Agong sendiri semasa merasmikan Dewan Rakyat turut melahirkan rasa simpati dan meminta semua pihak sama-sama berdoa malah semasa hari pertama perbahasan, anggota dewan termasuklah Datuk Seri Najib sendiri telah bertafakur bagi mendoakan keselamatan pesawat tersebut namun malangnya, ahli Parlimen pembangkang buat keputusan boikot persidangan pula,” katanya.
Tegasnya, ketika anggota Parlimen memusatkan perhatian dan keprihatinan terhadap pesawat MH370, pakatan pembangkang tidak hadir dan kemudian membuat pelbagai tuduhan negatif pula kepada kerajaan tanpa tahu apa yang sebenarnya dibuat.
“Sewajarnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu bersatu hati berdepan musibah sedemikian tanpa melihat kepada idealogi politik, perbezaan dan untung rugi satu-satu perkara kerana ini tidak akan memberi faedah kepada mana-mana pihak.
“Semua pihak memang nak tahu apa yang berlaku, begitu juga dengan kerajaan yang mengambil jalan terbaik namun malangnya, dalam keadaan tersebut masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab dan cenderung membuat tohmahan, melempar fitnah dan menjadikan tragedi ini sebagai satu motif politik.”



Ujarnya lagi, sebagai pemimpin yang prihatin dan menyelami suara hati rakyat maka tentunya perasaan waris dan ahli keluarga para penumpang MH370 akan diutamakan apatah lagi dalam mengeluarkan kenyataan dan menuduh yang bukan-bukan.
“Pembangkang ini, sudahlah tak ada apa-apa cadangan, jangankan nak beri bantuan malah nak pertikai pula kerja orang lain yang bersungguh-sungguh memastikan pesawat MH370 ditemui walhal kepimpinan BN sendiri tidak pernah bersikap sedemikian apabila berdepan musibah.”
Tambahnya, tanggungjawab kerajaan tidak pernah melihat kepada idealogi parti politik atau mencari salah pihak pembangkang sekalipun yang menerima tempias adalah rakyat keseluruhan sebagaimana krisis air yang berlaku di Selangor akibat kelalaian dalam keputusan kerajaan Negeri Selangor sebelum ini, kerana apa yang penting adalah usaha untuk membantu rakyat.

No comments:

Post a Comment

GetThis! ..