"Kita serahkan kepada badan penyiasat negara dan agensi risikan antarabangsa untuk menyiasat siapa dua orang pemegang passport palsu yang menaiki pesawat Boeing, B777-200 milik Malaysian Airline System Berhad yang hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing awal pagi semalam.”
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, pihaknya telah pun berbincang dengan agensi risikan antarabangsa yang bersetuju untuk bekerjasama menyiasat dan mendedahkan siapa sebenarnya pemegang passport milik orang lain itu.
"Agensi risikan antarabangsa akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan ini kerana tragedi ini tidak boleh diambil mudah oleh mana-mana pihak.
"Kita juga sedang meneliti kamera litar tertutup untuk melihat kedua-dua pemegang passport palsu itu ketika mereka mendaftar masuk,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa terdapat dua warga Eropah, Christian Kozal (Austria) dan Luigi Maraldi (Itali) yang mana menurut Kementerian Luar negara terbabit bahawa mereka tiada dalam pesawat tersebut.
Polis Austria mendapati warganya berada dalam keadaan selamat. Pasport warganya itu telah dicuri dua tahun lalu ketika beliau melancong di Thailand, kata jurucakap kementerian itu.
Kementerian Luar Itali di Rome pula menyatakan bahawa tiada warga Itali berada dalam pesawat tersebut walaupun nama Maraldi terdapat dalam senarai. Ibu Maraldi, Renata Lucchi memberitahu Reuters bahawa pasport anaknya telah hilang, dan masih hilang, di Thailand pada tahun lalu.
"Siasatan sedang dijalankan dan tidak ada sebarang maklumat yang boleh dimaklumkan setakat ini,” kata Hishamuddin.
No comments:
Post a Comment